
06 Jan Kongsi Ilmu Jahitan
Hasrat hatinya sungguh murni. Dia mahu mengajak anak muda mengisi masa dengan kemahiran bermanfaat yang mampu membina kehidupan lebih selesa pada masa depan, tanpa bergantung kepada kerja makan gaji semata-mata.
Bukan setakat menimba kemahiran secara sambilan, Pengarah Urusan Srikandi, Padzilah Enda, mengasaskan Srikandi iaitu kolej jahitan untuk memberi peluang kepada sesiapa saja yang berminat belajar menjahit secara formal bersama guru berpengalaman.
Tujuan utama penubuhan kolej ini adalah supaya lebih ramai orang kita terutamanya golongan muda dapat belajar menjahit secara formal dan menggunakan kemahiran mereka untuk menjana pendapatan dan hidup selesa.
Malah, lebih menarik, Padzilah yang juga pengasas perniagaan telekung di bawah jenama Siti Khadijah Apparel (SKA) berkata, dia turut menjalankan kerjasama dengan akademi jahitan di luar negara untuk melatih tenaga pengajar berkualiti, antaranya Kolej Fesyen Bunka di Jepun.
“Kalau kita lihat, semakin ramai yang terbabit dengan perniagaan pakaian namun kerana tiada kemahiran tukang jahit yang cukup, mereka terpaksa menghantar kain untuk dijahit di luar negara seperti Vietnam.
“Apa yang saya inginkan adalah bidang kemahiran bukan sekadar menjadi pilihan kedua, sebaliknya seiring dengan bidang akademik kerana ia juga menjanjikan kestabilan hidup sekiranya seseorang menggunakan pengetahuan yang ada sebaik mungkin,” katanya.
Menurut Padzilah, ibu bapa juga perlu mengubah tanggapan, memberi galakan dan melihat bidang kemahiran sebagai sesuatu yang mampu memberi kestabilan kepada anak mereka. Malah jika bijak memanfaatkan semua peluang, ia boleh memberikan pulangan jauh lebih lumayan berbanding makan gaji.
Apa yang penting melalui kemahiran itu, pelajar bukan saja berperanan sebagai penjual tetapi mereka juga boleh mengeluarkan produk yang unik dan mengikut kreativiti masing-masing. Peluang untuk berjaya juga menjadi lebih luas.
Katanya, kursus yang disediakan di Srikandi bukan sekadar untuk mereka yang mahu berhenti kerja kerana ingin memulakan perniagaan atau membuat kerja sambilan semata-mata.
“Apa yang lebih diharapkan adalah setiap lepasan Sijil Penilaian Malaysia (SPM) dan golongan muda dapat mengikuti kursus jahitan kerana ia dapat memberi nilai tambah kepada mereka.
“Kemahiran menjahit sememangnya kurang dalam kalangan orang muda di negara ini biarpun ia sebenarnya penting. Ketika SKA mula beroperasi, kami memang mengalami pelbagai masalah berhubung kualiti dan kemahiran tenaga tukang jahit.
“Keadaan yang sedemikian membuatkan kami terpanggil untuk membangunkan tenaga manusia dalam bidang jahitan yang benar-benar berkualiti dan berkemahiran tinggi.
“Selain menyediakan sumber tenaga manusia yang dapat menyokong berkembangnya industri pakaian tempatan, kewujudan Srikandi akan membuka peluang kepada pembangunan usahawan tekstil yang akan dididik serta mendapat peluang untuk memulakan perniagaan,” katanya.
Memiliki jadual fleksibel, Srikandi yang beroperasi di Seksyen 7, Bandar Baru BaÂngi, menawarkan kursus bermula peringkat asas hingÂga lanjutan secara separuh atau sepenuh masa untuk belajar menjahit semua jenis pakaian lelaki dan wanita.
Bagi kursus asas, tempoh pembelajaran antara 30 hingga 60 jam mengikut peringkat dan silibus. Mereka yang ingin mengikuti kelas jahitan Srikandi secara sepenuh masa, kursus selama lima bulan disediakan dengan bayaran RM5,000.
Bagaimanapun, kelas yang disediakan di Srikandi adalah fleksibel dan bagi yang berminat belajar kemahiran jahitan tertentu, mereka boleh mendaftar untuk dimasukkan ke dalam kelas yang mempunyai kekosongan tempat.
“Kami tidak sekadar menumpu kepada kemahiran menjahit, tetapi kelas kami juga membantu pelajar lebih berkeyakinan, bersemangat dan mempunyai pemikiran berbeza untuk berjaya melalui kemahiran yang mereka ada.
“Impian saya adalah untuk menjalin kerjasama dengan kolej jahitan di luar negara dan membolehkan pelajar di kolej ini melanjutkan pengajian hingga ke sana,” katanya.
Bagi yang berminat belajar kemahiran menjahit, boleh melayari laman www.srikandi.my atau Facebook/Srikandi atau emel ke info@srikandi.myuntuk mendapat maklumat tambahan.
Noorharmi Yuziana Binti Noorharris Fadhilah
Posted at 13:56h, 20 MayBoleh saya tau berapa bayaran untuk pendaftaran ye???